Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa mengenakan sekatan perjalanan sahaja tidak mencukupi untuk mengekang COVID-19 kerana virus itu ada di mana-mana.

Menurut Pengarah Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan, banyak kerajaan bergelut dengan cara pembukaan semula ekonomi mereka dan memastikan negara bebas daripada wabak itu.

Jelasnya, WHO selalu menasihatkan bahawa langkah-langkah perjalanan harus digunakan bersama dengan langkah-langkah lain selain secara sendirinya langkah-langkah perjalanan tidak efektif dalam menangani pergerakan penyakit.

“Cara yang sama juga seperti hanya mencuci tangan atau memakai topeng sahaja atau mana-mana intervensi kesihatan sahaja memang tidak berkesan.

"Virus ini ada di mana-mana. Ia akan bergerak apabila berpeluang untuk bergerak.

“Tidak kira sama ada di dalam atau di antara negara, virus ini ada di mana-mana sahaja dan boleh bergerak di antara kawasan.

"Saya rasa kita perlu melihat perkara ini, apakah risiko penyakit berpindah dari kawasan penularan tinggi ke kawasan yang penularannya terkawal?

"Saya rasa itulah yang membimbangkan kerajaan sekarang.

“Sekiranya kita telah bekerja keras di negara tertentu dan berjaya mengurangkan jangkitan ke tahap yang sangat rendah setelah tiga atau empat bulan, apakah risiko tambahan untuk membuka sempadan dan meningkatkan mobiliti?” katanya.

Ryan menjelaskan langkah sekatan perjalanan harus bergerak dengan langkah yang lain untuk memastikan penularan COVID-19 dihentikan.

Tambah beliau, di masa akan datang, adalah hampir mustahil untuk negara-negara menutup sempadan mereka.

Jelasnya, ketika negara membuka semula ekonomi dan terlibat dengan perdagangan global, mereka harus mencari cara untuk meminimumkan risiko penyebaran penyakit itu.

Beliau memberi amaran, virus itu mempunyai ancaman yang berbeza bergantung kepada negara dan keadaannya.