AMERIKA SYARIKAT menangguhkan sidang kemuncak bersama pemimpin ASEAN di Las Vegas pada bulan depan susulan kegusaran mengenai wabak koronavirus COVID-19, memetik kenyataan dua pegawai pentadbiran AS kepada Reuters.

Mesyuarat itu sepatutnya diadakan pada 14 Mac depan susulan Presiden Donald Trump tidak hadir pada sidang kemuncak ASEAN di Bangkok pada November.

“Ketika masyarakat sedunia bekerjasama menangani koronavirus baharu, Amerika Syarikat dalam rundingan bersama rakan-rakan ASEAN dengan duka cita membuat keputusan untuk menangguhkan mesyuarat bersama pemimpin ASEAN,” kata salah seorang pegawai itu kepada Reuters.

Walau bagaimanapun, AS menghargai hubungan bersama negara-negara ASEAN dan berharap dapat mengadakan mesyuarat lain dalam masa depan.

Pada Isnin lalu, Setiausaha Negeri Mike Pompeo memaklumkan persiapan untuk mesyuarat tersebut masih akan diteruskan.

Kes positif koronavirus COVID-19 di Amerika Syarikat kini mencecah 60, kebanyakannya penumpang kapal pelayaran Diamond Princess yang dibawa pulang dari Jepun.

Sebelum ini, Nikkei Asian Review melaporkan pemimpin dari Vietnam, Laos, Singapura, Kemboja dan Thailand pada awalnya setuju untuk hadir ke persidangan itu.