Singapura mencatatkan penurunan kes baharu COVID-19 selepas mencatatkan peningkatan mendadak sejak beberapa hari lalu.

Sebanyak 447 kes baharu COVID-19 dilaporkan setakat Sabtu dengan dua kematian, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 17,548 dan 17 orang korban.

Dalam kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH), mangsa terbaharu, seorang lelaki rakyat Singapura berusia 76 tahun meninggal dunia di Hospital Besar Changi pada Jumaat.

Sementara itu, MOH melaporkan satu lagi kematian pada hari sama iaitu seorang lelaki warga Bangladesh.

Bagaimanapun, lelaki itu yang merupakan kes 17,410, disahkan dijangkiti COVID-19 setelah beliau meninggal dunia.

MOH juga melaporkan seorang wanita rakyat Malaysia dalam sektor penjagaan kesihatan merupakan antara kes positif baharu pada Sabtu.

Daripada kes baharu pada Sabtu, enam adalah kes dalam komuniti, 10 pemegang permit kerja yang menginap di luar asrama pekerja dan 431 adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama.