Singapura mencatatkan 175 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan tiga kes import.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan republik itu di sini hari ini, kesemua kes import itu telah diserahkan notis kuarantin dirumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatan, kementerian itu mendapati hanya satu kes dalam komuniti melibatkan seorang rakyat Singapura.

Sementara itu, majoriti daripada kes adalah pemegang permit kerja yang kini dalam kuarantin dan pekerja yang disaring pada hari-hari sebelumnya.

Perkembangan terkini ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu mencecah 55,104.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, kementerian itu mengklasifikasikan 745 kes dilaporkan sebagai kes import, 2,191 kes komuniti dan 51,993 sebagai kes penghuni asrama.

Dalam pada itu, 48,583 pesakit atau 88 peratus sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti di sini.

Sementara itu, 145 kes disahkan masih lagi berada di hospital dan kebanyakan mereka dalam keadaan stabil atau beransur-ansur pulih dan tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sejumlah 6,174 kes yang bergejala ringan atau yang secara klinikal sihat tetapi masih positif dalam saringan COVID-19, diasingkan dan dijaga di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID_19 di republik itu.

Satu kluster baharu dikenal pasti semalam, sebuah asrama di 35 Kian Teck Way.

-- BERNAMA