Singapura mengesahkan 183 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan angka keseluruhan jangkitan 44,983 kes.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, 23 kes merupakan penularan dalam komuniti melibatkan tiga rakyat atau pemastautin tetap dan 20 lagi pemegang pas kerja.

Selain itu, terdapat tiga kes import baharu dan kesemua mereka diarahkan kuarantin di rumah sebaik tiba di Singapura.

Menurut kementerian itu, sebahagian besar kes baharu tersebut masih melibatkan pekerja migran tinggal di asrama.

Sementara itu, berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 598 jangkitan sebagai kes import, 1,938 jangkitan dalam komuniti dan 42,264 pekerja asing di asrama.

Setakat tengah hari Ahad, sebanyak 40,441 atau 90 peratus pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti jagaan komuniti.

Masih terdapat 212 kes positif yang dirawat di hospital setakat semalam dengan dua berada di unit rawatan rapi, demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, seramai 4,121 yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di pusat jagaan komuniti.

Setakat ini, Singapura merekodkan 26 kematian akibat COVID-19 dengan dua kes dilaporkan pada 21 Mac.

Tiada kluster baharu dikesan setakat Ahad.