Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) telah mengesahkan tambahan 49 kes jangkitan COVID-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 732 kes dengan 183 pesakit sembuh sepenuhnya.

"Daripada sejumlah 49 kes, 27 adalah kes tempatan yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara baru-baru ini," menurut MOH dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Kementerian itu menyebut bahawa dua daripada kes tempatan mempunyai kaitan dengan kluster baharu Pusat SingPost di Jalan Eunos Road membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 29 tahun yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura.

Beliau dirawat di Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit manakala satu lagi kes tempatan baharu dikaitkan dengan kluster sama yang membabitkan seorang wanita rakyat Singapura berusia 76 tahun.

Warga emas itu kini dirawat di Hospital Besar Changi.

Secara keseluruhan, tiga kes yang disahkan mempunyai kaitan dengan Pusat SingPost.

Sementara itu, sejumlah 22 lagi kes baharu merupakan kes import yang mempunyai sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara dan ASEAN.

"Semua kecuali dua adalah penduduk yang pulang dari luar negara dan pemegang Pas Jangka Panjang," menurut kenyataan itu.

Menurut MOH, 11 lagi pesakit yang dijangkiti COVID-19 telah dibenarkan keluar dari hospital pada Jumaat.

Daripada sejumlah 432 kes yang telah disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala 17 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, katanya.

Setakat tengah hari, MOH mengenal pasti sejumlah 10,346 kontak rapat yang telah dikuarantin.

-- BERNAMA