Singapura mencatatkan 513 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 dengan sebahagian besarnya masih merupakan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Berdasarkan data ringkas yang dikeluarkan tengah hari ini, angka terbaharu berkenaan menjadikan jumlah jangkitan di republik itu kini sebanyak 49,888 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan Singapura, daripada penyiasatannya setakat ini, terdapat dua kes dalam komuniti tersebut, yang kedua-duanya merupakan pemegang pas kerja.

Di samping itu, terdapat enam kes import yang telah ditempatkan di bawah Notis Duduk Di Rumah (SHN) semasa tiba di Singapura.

Menurut kementerian itu, pasukan petugas antara agensi menjalankan tugas mengikut jadual untuk membersihkan semua asrama pada awal Ogos, kecuali 17 blok di lapan asrama khas, yang berfungsi sebagai kemudahan kuarantin bagi 28,000 pekerja yang masih menjalani tempoh pengasingan mereka.

"Kumpulan terakhir pekerja ini adalah dari asrama dengan penyebaran COVID-19 yang agak tinggi, dan akan menjalani ujian akhir sebelum mereka menyelesaikan tempoh pengasingan mereka.

"Oleh itu, kami menjangkakan jumlah kes harian akan tinggi dalam dua minggu akan datang, sebelum berkurangan selepas itu," jelasnya.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 661 kesnya sebagai import, 2,158 sebagai kes komuniti dan 46,556 sebagai penghuni asrama.

Secara keseluruhan, 45,172 atau kira-kira 92 peratus dari keseluruhan kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Setakat tengah hari semalam, terdapat 157 kes yang masih dirawat di hospital.

Daripada jumlah tersebut, kebanyakannya stabil atau bertambah baik dan tiada kes di unit rawatan rapi.

Sebanyak 4,019 pesakit yang mempunyai gejala atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia akibat COVID-19 di sini.

Hanya satu kluster baru dikenal pasti semalam di Hab Pengangkutan Bersepadu Bukit Panjang, Petir Road.

-- BERNAMA