Singapura melaporkan 334 kes baharu jangkitan COVID-19 di republik itu hari ini, dengan majoriti daripada mereka adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dalam data ringkas pukul 12 tengah hari yang dikeluarkan di sini, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata ada tiga kes melibatkan dua rakyatnya atau pemastautin tetap dan seorang pemegang pas kerja.

Kementerian itu juga berkata terdapat empat kes import yang telah diserah Notis Duduk Di Rumah sebaik sahaja mereka tiba di Singapura.

Dengan angka terbaharu ini, jumlah keseluruhan kes jangkitan wabak berkenaan di republik itu mencecah 51,531.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 688 sebagai kes import, 2,168 kes komuniti dan 48,341 kes penghuni asrama.

Setakat pukul 12 tengah hari semalam, 45,893 atau kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat jagaan komuniti.

Terdapat 185 kes disahkan masih berada di hospital, dan kebanyakan mereka dalam keadaan stabil atau beransur-ansur pulih serta tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sejumlah 5,092 pesakit yang bergejala atau secara klinikal didapati sihat tetapi masih lagi positif dalam saringan COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di sini.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

-- BERNAMA