SANTIAGO: Petugas kesihatan di Chile akui terbeban dengan lonjakan kes di negara itu walaupun terdapat sejumlah pekerjanya yang sudah divaksinasi.

Ketua pekerja kesihatannya mendedahkan, keadaan sistem kesihatan di sana ketika ini adalah sangat kritikal.

Katanya, pekerja kesihatan ketika ini sedang berjuang menangani sejumlah besar pesakit di hospital dan 30 peratus kakitangan hospital tidak dapat bertugas kerana masalah kesihatan.

"Kami ditugaskan lebih daripada biasa dengan hanya dua pertiga rakan sekerja, kerana 30 peratus kakitangan kami berhenti atas sebab kesihatan.

"Semua ini ada kaitan dengan pengurusan yang teruk oleh pemerintah.

"Kerajaan daripada kalangan ahli perniagaan memilih untuk melindungi keselamatan dan kesihatan perniagaan dan bukannya kesihatan dan kehidupan rakyat," katanya.

Chile mencatatkan 5,497 kes harian dalam tempoh 24 jam.

Jangkitan COVID-19 meningkat dan masih membimbangkan di Chile walaupun program vaksinasi negara sedang berjalan.

Lebih 7.1 juta orang sudah divaksin di Chile, manakala kira-kira 84 peratus orang berusia lebih 60 tahun diberikan imunisasi.

Secara keseluruhan, Chile mencatat lebih 1.09 juta kes COVID-19 dengan 24,548 kematian.