Dalam usaha untuk memutuskan penularan COVID-19, ibu negara Thailand, Bangkok melanjutkan larangan sementara penjualan alkohol sehingga akhir bulan ini.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menguatkuasakan larangan sementara penjualan alkohol mulai 10 April sehingga tengah malam hari ini untuk mencegah perhimpunan sosial, terutamanya semasa sambutan Tahun Baharu Thailand iaitu pesta Songkran minggu lepas.

Walaupun situasi COVID-19 di negara ini terus bertambah baik dengan jumlah rendah kes baharu COVID-19, Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata Jawatankuasa Penyakit Berjangkit BMA bersetuju lanjutan tempoh itu adalah perlu.

"Lanjutan akan dapat mengekang penularan COVID-19 di Bangkok dengan berkesan dan memastikan situasi terkawal," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Bangkok mencatatkan angka tertinggi kes COVID-19 - 1,440 daripada 2,792 kes kumulatif dilaporkan di negara ini sejak berlakunya wabak itu pada Januari.

Hari ini, Thailand melaporkan 27 kes COVID-19 baharu dan tiada kematian baharu untuk hari ketiga berturut-turut, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 2.792 dengan jumlah kematian kekal 47 orang.

Ini adalah jumlah jangkitan harian terendah yang dicatatkan sejak 14 Mac. Thailand mencatatkan peningkatan kes harian tertinggi -188 kes yang disahkan pada 22 Mac.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata setakat ini, sebanyak 1,999 pesakit telah sembuh dan pulang ke rumah.

"Sebanyak 142, 589 sampel telah diuji untuk COVID-19 di negara ini sejak Februari.

"Pada April, purata 3,000 sampel diuji setiap hari di negara ini dengan kadar pengesanan antara 1.41 peratus dan 3.82 peratus," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini, hari ini.

Setakat ini, 35 dari 77 wilayah tidak melaporkan kes baharu COVID-19 dalam tempoh 14 hari lepas.

Sementara itu, Thaweesilp berkata kira-kira 9.000 warganegara Thailand di 144 negara telah berdaftar dengan Kementerian Luar Thailand untuk pulang ke tanah air selepas 30 April.

"Mereka perlu mendapatkan dokumen sihat untuk penerbangan dan diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti di negara ini. Mereka perlu pulang ke tanah air secara berperingkat," katanya.

Kementerian Dalam Negeri melaporkan terdapat 796 fasiliti kuarantin sementara di seluruh negara.

-- BERNAMA