Thailand melaporkan lima kes COVID-19 baharu, membabitkan rakyat negara itu yang kembali dari luar negara serta menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan negara, dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Setakat ini, terdapat sejumlah 3,232 kes COVID-19 dilaporkkan di Thailand dengan 58 kematian.

Sejumlah 3,092 pesakit telah pulih sepenuhnya dan didiscaj manakala 82 masih dirawat.

Pembantu jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata kelima-lima pesakit adalah terdiri daripada dua individu yang kembali dari Emiriah Arab Bersatu, dua dari Singapura dan seorang dari Amerika Syarikat.

Hari ini merupakan hari ke-51 berturut-turut tanpa jangkitan tempatan di negara itu.

Sementara itu, lebih 200 sekolah termasuk dua di Bangkok, masing-masing satu di wilayah Chonburi dan Samut Prakan ditutup sekurang-kurangnya bagi tempoh tujuh hari hingga dua minggu bermula semalam selepas seorang anggota kru tentera Mesir mengelak pengasingan dan menghabiskan masa di sebuah pusat beli-belah di wilayah Rayong sebelum beliau kemudiannya diuji positif COVID-19.

Anggota kru tentera Mesir berusia 45 tahun itu dan 30 lagi mengunjungi dua pusat beli-belah semasa singgah di Lapangan Terbang U-Tapao di Rayong sewaktu melakukan penerbangan rutin tentera dari 8 hingga 11 Julai.

Kumpulan itu meninggalkan Thailand sebelum keputusan ujian COVID-19 dikeluarkan pada Ahad.

Jabatan Kawalan Penyakit telah menutup hotel dan pusat beli-belah terbabit untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hari untuk melakukan kerja-kerja nyah cemar.

Media tempatan melaporkan bahawa kawasan beli-belah dan jalan lengang di Rayong manakala 90 peratus tempahan hotel dibatalkan susulan berita seorang anggota kru tentera itu telah diuji positif COVID-19.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Suwannachai Wattanayingcharoenchai berkata terdapat peluang yang tipis berlaku jangkitan di wilayah Rayong kerana anggota kru tentera Mesir itu memakai pelitup muka ketika mengunjungi pusat beli-belah terbabit.

"Individu yang dijangkiti itu berada di dua tingkat di pusat beli-belah tersebut. Beliau tidak berhenti atau makan di situ. Selepas meninggalkan pusat beli-belah itu, beliau kembali ke hotel dan masuk ke biliknya. Ini bermakna individu yang dijangkiti itu tidak berhubungan dengan ramai orang.

"Maklumat yang dikumpul menunjukkan risiko jangkitan penyakit itu adalah tipis dan mungkin sekolah tempatan boleh dibuka semula dalam tempoh tujuh hari," kata beliau seperti dipetik Bangkok Post.

-- BERNAMA