Seorang lelaki berusia 55 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan sebelum ini di tempat kerja di wilayah Nonthaburi, dekat Bangkok adalah antara tiga kes baharu positif COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam di Thailand.

Satu lagi kes melibatkan seorang wanita berusia 27 tahun di wilayah selatan Phuket, menjadikan jumlahnya 3,031 dengan jumlah kematian kekal 56 orang.

Jurucakap Centre for COVID-19 Situation Administration (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, sehingga hari ini, 2,857 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang dari hospital manakala 118 masih menerima rawatan di wad hospital.

Pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini, Thaweesilp berkata, fasa kedua kelonggaran perintah kawalan bermula Ahad berjalan lancar tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.

Sejak Ahad, pasar raya dan pusat membeli-belah di Thailand beroperasi semula antara pukul 10 pagi hingga 8.00 malam tetapi premis seperti pawagam, gelanggang boling, taman hiburan, spa dan pusat urut masih ditutup sehingga diberitahu kelak.

Restoran dan kafe di dalam bangunan pejabat dan medan selera dibenar memulakan perniagaan walaupun jualan minuman keras tidak dibenarkan di tempat berkenaan. Perniagaan lain yang kini dibenarkan termasuk salun spa kecantikan, kedai kosmetik dan pakaian, peralatan elektrik, peralatan sukan dan kedai bekalan barang-barang pejabat.

Bagaimanapun, kunjungan yang ramai dikesan di beberapa pusat membeli-belah termasuk IKEA di Bang Na apabila ia memulakan semula perniagaan semalam. Pada sebelah tengah hari, IKEA mengumumkan dalam halaman Facebooknya bahawa ia terpaksa menutup sementara perniagaan berikutan terlalu ramai orang, menurut laporan Bangkok Post.

Mengenai Thai Chana, satu laman web untuk pengesanan kontak yang mana pelanggan dan pengunjung dikehendaki mendaftar dan menjalani saringan kod QR sebelum memasuki dan meninggalkan premis, Thaweesilp berkata, seramai 2.7 juta pelanggan dan 45,000 premis dan kedai di seluruh negara menggunakan platform berkenaan.

Sementara itu, 35 kampung yang diletakkan sepenuhnya halangan keluar dan masuk di Pattani dibuka semula selepas tiada kes baharu COVID-19 dilaporkan dalam sekurang-kurang 28 hari.

Gabenor Pattani, Kraisorn Visitwong berkata, kampung berkenaan terletak di tujuh daerah iaitu Nong Chik, Yarang, Mayo, Sai Buri, Khok Pho, Mueang Pattani dan Thung Yang Daeng diarahkan dikenakan larangan keluar dan masuk bagi menghalang penularan COVID-19 di kawasan berkenaan.

"Semua kampung hendaklah terus mematuhi jarak sosial dan mengamalkan penjagaan kebersihan di samping mengelakkan perhimpunan besar," katanya.

-- BERNAMA