Di sebalik kebimbangan mengenai penularan pandemik COVID-19, kerajaan Thailand pada Selasa memaklumkan negara itu masih lagi terbuka dan menerima kehadiran pelancong asing.

Bagaimanapun, syarat ketat dikenakan ke atas pelawat dari enam buah negara iaitu China, Hong Kong, Macau, Korea Selatan, Iran serta Itali.

Perdana Menterinya, Prayuth Chan-ocha berkata pelawat yang tiba dari negara berkenaan perlu memiliki sijil kesihatan tidak melebihi tiga hari, sebelum boleh meneruskan perjalanan mereka bersama insurans kesihatan.

Pelawat turut diwajibkan memuat turun aplikasi dalam talian bagi mengesan dan memantau kesihatan mereka sepanjang berada di negara itu.

Peraturan sama akan dikenakan kepada pelancong dari negara-negara yang dijangkiti wabak tersebut, namun prosedur itu masih belum dijelaskan secara terperinci setakat ini.

Dalam pada itu, Prayuth turut mengesahkan sambutan Pesta Songkran ditangguhkan pada tahun ini bagi menghalang perhimpunan dalam usaha mencegah penularan pandemik COVID-19.