Thailand melaporkan tiga kes baharu COVID-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu, dengan kerajaan Thailand semakin mengurangkan sekatan dan membenarkan lebih banyak pusat beli-belah dan gedung serbaneka dibuka semula.

Sehingga kini, Thailand merekodkan 3,028 kes COVID-19 dengan 56 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata tiga kes baharu itu dikesan di sebuah kemudahan kuarantin negeri melibatkan pelajar Thailand berusia 21 hingga 23 tahun, seorang yang kembali dari Pakistan dan dua lagi dari Mesir awal bulan ini.

"Daripada 3,028 kes COVID-19 di Thailand, sebanyak 1,183 kes dikaitkan dengan kontak rapat dengan kes yang disahkan sebelum ini manakala kluster berisiko (284 kes), kluster stadium tinju (276 kes), rakyat Thailand yang kembali dari luar negara (270 kes) serta kluster outlet hiburan (226 kes)," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Sehingga kini seramai 2,856 individu yang diuji positif COVID-19 telah sembuh dan discaj dari hospital manakala 116 masih dirawat.

Thailand pada Ahad mula melonggarkan sekatan dengan lebih banyak perniagaan dan tempat dibuka semula.

Bermula hari ini, gedung serbaneka, pusat beli-belah dan pusat komuniti di Thailand boleh meneruskan operasi antara 10 pagi hingga 8 malam tetapi premis seperti panggung wayang, pusat boling, taman hiburan, pusat spa dan rumah urut kekal ditutup sehingga notis selanjutnya.

Restoran dan kafe di bangunan pejabat dan medan selera akan dibenarkan beroperasi semula, bagaimanapun penjualan alkohol dilarang di tempat tersebut. Perniagaan lain yang dibenar beroperasi termasuk salun kuku, kedai kosmetik dan pakaian, peralatan sukan dan kedai peralatan pejabat.

Tinjauan di sebuah pusat beli-belah dan gedung serbaneka di Bangkok menunjukkan orang ramai dengan pembeli harus memakai penutup hidung dan mulut dan menjalani pemeriksaan suhu sebelum masuk.

Kerajaan Thailand hari ini melancarkan laman web - Thai Chana bagi pengesanan kontak iaitu pembeli dan pengunjung mesti mendaftar dan mengimbas kod QR sebelum masuk dan meninggalkan premis tersebut.

-- BERNAMA