DALAM tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 106,000 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, jumlah itu merupakan yang tertinggi dicatatkan dalam sehari sejak penularan wabak itu bermula.

“Jauh lagi perjalanan kita dalam pandemik ini. Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 106,000 kes jangkitan baharu dilaporkan ke WHO.

“Jumlah tertinggi yang dilaporkan dalam sehari sejak penularan wabak ini bermula. Hampir dua pertiga daripada jumlah kes ini datang dari empat negara sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Michael Ryan memberi amaran berhubung penggunaan ubat malaria, hydroxychloroquine, untuk merawat pesakit COVID-19.

Katanya, amaran telah dikeluarkan oleh banyak pihak berkuasa serta pakar mengenai kemungkinan kesan sampingan ubat tersebut.

“Saya ingin menegaskan setakat ini, keberkesanan hydroxychloroquine masih belum dibuktikan dalam rawatan penyakit COVID-19 atau profilaksisnya terhadap pencegahan penyakit itu.

“Banyak pihak telah memberi amaran tentang penggunaan ubat ini dan kegunaannya kini hanya tertakluk kepada percubaan klinikal. Kesan sampingan telah dilaporkan berlaku dan boleh berlaku lagi,” jelasnya.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menerima kritikan hebat daripada pakar-pakar kesihatan apabila beliau menyatakan telah mengambil hydroxychloroquine untuk mengelak dirinya daripada dijangkiti virus COVID-19.

Pakar kesihatan menegaskan, kenyataan Trump itu boleh membahayakan rakyat AS jika mereka menyalahgunakan ubat tersebut dan ia boleh mengakibatkan kematian.