Pelancong yang membuat perancangan percutian ke Thailand, khususnya di bahagian utara dan tengah negara itu berkemungkinan perlu membawa persiapan tambahan, iaitu pakaian yang lebih tebal.

Laporan Bangkok Post menyatakan bahawa kejatuhan suhu tersebut diramal turut melibatkan ibu negaranya, Bangkok.

Dengan kawasan tekanan tinggi yang kuat di bahagian utara Thailand dan sekitar Laut China Selatan, suhu dijangka berkurangan antara 3 hingga 5 darjah Celsius di utara dan tengah negara itu pada 17 dan 18 Disember.

Ramalan itu dikeluarkan Jabatan Meteorologi Thailand pada jam 11 pagi tadi waktu tempatan.

Sepanjang minggu ini, cuaca di Bangkok mencatatkan suhu sekitar 28 darjah Celcius pada waktu siang, manakala pada lewat malam dan awal pagi, suhunya boleh berada di sekitar bacaan 14 hingga 17 darjah Celsius.

Suhu di dua kawasan pelancongan popular di utara iaitu Chiang Mai dan Chiang Rai, yang dikenali sebagai kawasan bercuaca dingin, masing-masing diramal boleh mencecah suhu di bawah 10 darjah Celsius pada waktu malam.

Suhu terendah diramal dicatatkan di wilayah Nan iaitu sekitar 5 hingga 10 darjah Celsius, sementara di kebanyakan puncak pergunungan pula, keadaan menjadi sangat sejuk hingga dilitupi fros.

Pada 19 hingga 21 Disember nanti, tekanan suhu yang kuat dari China akan sampai ke utara Thailand. Itu membuatkan cuaca sejuk berterusan dan suhu akan jatuh lagi antara 2 hingga 3 darjah Celsius.

Di sebelah selatan pula, bakal berlaku kekerapan hujan dan laut bergelora pada 17 dan 18 Disember. Ombak setinggi 2 hingga 3 meter dijangka melanda Teluk Siam, dengan kemungkinan menerjah lebih dalam ke kawasan pesisiran pantai.