HIDUP tidak selalunya indah, berputar bagaikan roda. Kadang-kala kita berada di atas, ada masa pula di bawah.

Itulah perumpamaan yang boleh diberikan kepada Nastasia Ubrano, seorang model yang pernah menghiasi kulit hadapan majalah Vogue tetapi kini hidup merempat sebagai gelandangan.

Ketika zaman kegemilangannya, Urbano, 57, pernah menjadi wajah untuk wangian ikonik Yves Saint Lauren, Opium dan popularitinya setaraf dengan supermodel Linda Evangelista.

Namun kerdipan bintangnya kini malap hingga dilapor terpaksa tidur di pekarangan bank di Barcelona.

Hidup Urbano berubah setelah dia berkahwin dengan lelaki pisau cukur yang kemudian meninggalkannya sehelai sepinggang.

Ketika berusia 20 tahun, jelitawan Sepanyol ini sudah menjadi penghias kulit hadapan majalah Vogue di Eropah sebelum berpindah ke New York dan mengikat kontrak dengan agensi Ford Models.

Memetik laporan Daily Mail, Urbano menerima bayaran US$1 juta untuk bekerja hanya 20 hari dalam setahun. ‘Kemewahan’ itu dinikmatinya untuk tempoh tiga hingga empat tahun.

“Saya pernah makan malam bersama pelakon Jack Nicholson, kemudian bersama Andy Warhol dan pengarah Roman Polanski. Saya juga parti bersama Melanie Griffith, Don Johnson dan Simon & Garfunkel,” kata Urbano.

“Saya pernah menghadiri majlis perkahwinan Madonna dan Sean Pean ketika berpacaran dengan pelakon David Keith. Saya memiliki segala-galanya dan hidup bagaikan ratu.”

Hidup Urbano berubah setelah dia berkahwin dengan lelaki pisau cukur yang kemudian meninggalkannya sehelai sepinggang.

“Satu-satunya perkara terbaik yang berlaku dalam perkahwinan kami ialah apabila dikurniakan tiga anak, selebihnya penuh kesengsaraaan apabila saya menghabiskan semua wang untuk lelaki itu.”

Urbano yang mengalami kemurungan juga pernah dihalau dari rumah beberapa kali kerana tidak mampu membayar sewa.

Kini, dia terpaksa tidur dengan menumpang rumah kawan atau di kaki lima bank yang mempunyai mesin ATM.

“Saya tidak mahu lagi hidup hanya untuk hidup. Saya dah jemu hanya meminta wang. Saya mahu anak-anak saya melihat saya hidup dengan lebih baik dan menjadi manusia yang boleh mereka banggakan.”

Ubano memulakan kerjayanya di Barcelona sebelum menjadi model untuk jenama Revlon dan Yves Saint Laurent dan kemudian model majalah Vogue pada tahun 1981.