Kumpulan militan Daish hari ini mengaku bertanggungjawab terhadap insiden tembakan rambang di sebuah kelab malam di Istanbul sempena sambutan Tahun Baru yang meragut nyawa 39 orang.

Kenyataan itu dibuat melalui Telegram, saluran yang biasa digunakan kumpulan itu bagi menyatakan pengakuan.

Polis mengedarkan foto hitam putih yang didakwa penyerang solo terbabit yang diambil daripada rakaman kamera keselamatan, lapor Reuters.

Ketika kejadian, mangsa terpaksa meniarap di bawah meja dan ada yang terjun ke dalam laluan air Bosphorus untuk menyelamatkan diri selepas penyerang mula menembak secara rawak menggunakan senapang automatik ke arah pengunjung.

Warga Arab Saudi, Maghribi, Lubnan, Libya, Israel, dan India adalah antara mereka yang terbunuh, kata polis.

Turki yang terkesan oleh serangan pengganas itu berikrar akan memerangi habis-habisan kumpulan pengganas dan penyokong mereka.

Presiden Recep Tayyip Erdogan dilapor berkata Turki bersikap tegas dalam melakukan apa sahaja demi melindungi keselamatan warganegaranya dan keamanan di rantau itu.

Serangan itu berlaku tiga minggu selepas dua insiden pengeboman di Istanbul yang membunuh sekurang-kurangnya 45 orang, kebanyakan daripada mereka ialah pegawai polis.