Presiden Lubnan, Michel Aoun memanggil Kabinet untuk mengadakan mesyuarat tergempar susulan letupan yang mengorbankan lebih 70 nyawa.

Aoun berkata mesyuarat yang diadakan itu bagi mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu.

"Seluruh negara juga diminta berkabung bagi mengenang mangsa dalam letupan tersebut.

"Dalam masa sama, kerajaan meluluskan sejumlah AS$65 juta daripada peruntukan belanjawan tahun ini sebagai bantuan kecemasan," katanya yang dipetik laporan AP pada Rabu.

Dalam pada itu, Aoun turut mempersoalkan tindakan gudang bunga api yang menyimpan 2,750 tan ammonium nitrat tanpa langkah keselamatan yang didakwa menjadi punca letupan itu.

Beliau turut berikrar akan mengambil tindakan keras terhadap pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan letupan berkenaan.

"Kilang berkenana telah diberi amaran sejak 2014 selepas didakwa melanggar peraturan berkaitan pengurusan keselamatan," ujarnya.