Datuk Bandar Chicago, bandar ketiga terbesar di Amerika Syarikat (AS), pada Selasa menyelar dasar imigrasi Presiden Donald Trump sebagai "kejam, tidak patut dan menyalahi undang-undang," lapor agensi berita Xinhua.

Rahm Emanuel turut mengalu-alukan keputusan hakim persekutuan California, yang menolak usaha pentadbiran Trump untuk meminda peraturan bagi membolehkan pelaksanaan penahanan jangka panjang terhadap anak-anak migran.

"Keputusan itu turut dilihat sebagai satu langkah ke hadapan yang melambangkan tatasusila dan keadilan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, seorang hakim persekutuan Chicago pada Isnin mengeluarkan perintah supaya dua kanak-kanak lelaki warga Brazil disatukan semula dengan bapa mereka dalam tempoh 72 jam, selepas dipisahkan selama enam minggu.

Hakim berkata, peguam Jabatan Kehakiman gagal memberikan penjelasan kukuh "apa tujuan yang cuba hendak dicapai di sebalik memisahkan kanak-kanak itu dengan bapanya."

Dasar "toleransi sifar" pentadbiran Trump terhadap pendatang tanpa izin, terutamanya mengasingkan ibu bapa dengan anak-anak telah menggemparkan masyarakat dunia dan menerima kritikan meluas.

-- BERNAMA