Tradisi balik kampung merupakan satu kebiasaan setiap kali tiba musim perayaan. Inilah peluang untuk berkumpul dan bertemu sanak saudara selepas setahun sibuk dengan tugasan masing-masing.

Jika kita di Malaysia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, di Bangladesh lain pula ceritanya.

Tanpa menghiraukan keselamatan diri, mereka memilih untuk pulang ke kampung halaman menggunakan kemudahan pengangkutan awam, terutamanya kereta api.

Ramai yang sanggup bergadai nyawa demi memastikan hari raya disambut bersama keluarga di kampung halaman. - AP

Menerusi beberapa gambar yang dirakam agensi AP, warga Bangladesh, terutamanya yang bekerja di Dhaka, sanggup menggadai nyawa apabila sanggup memanjat dan duduk di bahagian bumbung kereta api, malah ada yang duduk di bahagian kepala kereta api.

Masyarakat Bangladesh di Dhaka berpusu-pusu pulang ke kampung halaman. - AP

Bagaimanapun, itu tidak bermakna tidak ramai yang memilih memandu sendiri. Mereka yang berkemampuan memilih pulang ke kampung dengan kenderaan sendiri, malah ada juga yang menyewa kenderaan untuk memudahkan pergerakan apabila tiba di kampung.

Majoriti mereka yang bekerja Dhaka mahu memastikan mereka dapat pulang ke kampung halaman pada musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha, memandangkan pada kebanyakan masa dalam setahun, mereka mencari rezeki di kota sebagai perantau.

Suasana bersesak-sesak di atas bumbung kereta api ini bukan suatu yang kluar biasa bagi mereka yang tinggal atau mencari rezeki di kota berpopulasi padat itu. Namun, dalam keadaan begini, insiden kecederaan dan kemalangan juga kerap dilaporkan.