Misteri kehilangan seorang pesara warga Britain dan isterinya sejak Selasa lalu akhirnya terjawab, apabila polis menemui mayat pasangan berkenaan yang ditanam di kawasan kediaman mewah mereka di utara Thailand.

Mayat Alan Hogg, 64, dan isterinya Nod Suddaen, 61, ditemui kelmarin selepas penahanan tiga lelaki yang mengaku membunuh pasangan itu setelah diupah abang ipar Hogg .

Laporan Bangkok Post menyatakan pasangan itu disedari hilang dari rumah mereka di daerah Muang di wilayah Pharae pada 18 September lalu selepas gagal dihubungi rakan mangsa.

Siasatan polis menemui kesan darah di singki dan bilik persalinan di kolam renang yang kelihatan seperti dilap.

Jurucakap polis, Sanpat Prabpudsa berkata, tiga lelaki itu mengaku menembak pesara jurutera dan ahli perniagaan terbabit sebelum menggunakan tukul untuk memukul isterinya hingga mati di dalam garaj.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian ditanam berhampiran sebuah sungai kecil di belakang kawasan rumah pasangan berkenaan.

Suspek memberitahu, abang ipar Hogg, Warut Satchakit membayar mereka 50,000 baht (RM6,374) untuk membunuh pasangan berkenaan.

“Warut mempunyai masalah kewangan dan masalah peribadi dengan mangsa,” katanya.

Warut ditahan selepas rakaman kamera keselamatan menunjukkan dia masuk ke kediaman itu dan melarikan kenderaan pacuan empat roda milik mangsa untuk dijual.