Berita  | Dunia

Depot peluru meletup, 6,000 penduduk dipindahkan

Depot peluru meletup, 6,000 penduduk dipindahkan
Satu siri letupan berlaku di sebuah depot senjata yang bertempat di satu pangkalan tentera Rusia di Siberia pada Isnin, 5 Ogos, 2019. REUTERS
SIBERIA: Ribuan orang dipindahkan dan sekurang-kurangnya lapan cedera selepas siri letupan besar-besaran berlaku di depot senjata pangkalan tentera Rusia dekat sini, pada Isnin.

Kementerian Pertahanan Rusia berkata, letupan berhampiran bandar Achinsk di rantau Krasnoyarsk, timur Siberia itu, berpunca daripada kebakaran.

Susulan insiden tersebut, pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di rantau berkenaan.
Menurut Gabenor Serantau, Alexander Uss, 6,000 orang sedang dipindahkan di bawah perintah tersebut.

Ia melibatkan pemindahan penduduk di beberapa daerah di Achinsk, bandar, serta kampung yang terletak kira-kira 20 kilometer dari depot tersebut.

Selain itu, pihak berkuasa turut mengarahkan lalu lintas udara ditutup sementara waktu dalam jarak kira-kira 30 kilometer dari kawasan amaran.