Para pengamal media sosial nampaknya beralih tumpuan kepada usaha untuk membantu seorang mangsa penderaan seksual dari Korea yang sebelum ini memuat naik sebuah kenyataan dengan tajuk “Bantulah saya” di laman portal berbahasa Korea, ‘Nate’ pada 20 Jun lalu.

Kenyataan asal yang ditulis dalam bahasa Korea itu kemudian diterjemahkan oleh netizen dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris untuk mendapat perhatian mata dunia dalam isu penderaan tersebut.

m
Sumber gambar: Portal Nate

Wanita yang memperkenalkan diri sebagai Lee Jung Hee dalam kenyataan tersebut berkata, “ Salam semua.. saya ingin mendedahkan kehidupan saya yang amat mengerikan dan mengecewakan selain kesengsaraan yang saya alami selama ini. Saya merupakan seorang wanita yang bergelumang dengan 'kekotoran'.”

Lee Jung meneruskan kenyataan itu dengan mendedahkan kisah luar biasa sindiket pelacuran, penderaan, kes rogol dan penindasan yang dialaminya bersama dua anak lelakinya. Semuanya di bawah arahan keluarga sendiri, termasuk suami yang juga merupakan seorang kuat agama.

Menurut Lee Jung, ‘organisasi’ yang dia dipaksa melibatkan dirinya itu merupakan sebuah perniagaan pelacuran yang dilakukan secara besar–besaran di negara tersebut, dan perkara yang lebih menyedihkan apabila, keluarga Lee Jung dan keluarga suaminya melibatkan diri secara serius dalam perniagaan tersebut.

“Anak–anak saya telah dirogol seramai 300 orang manakala bagi saya, dalam tempoh 20 tahun, angka sudah mencecah 1000 orang, ” tulis Lee Jung.

Difahamkan, walaupun Lee Jung sudah beberapa kali cuba mendapatkan bantuan daripada pihak polis, semua usahanya telah ditolak berikutan angkara suami dan keluarganya yang menghalang pihak berkenaan untuk menyiarkan berita tersebut.

Lee Jung kemudian menggunakan media sosial untuk membuat rayuan kepada orang ramai untuk membantu menyebarkan berita tersebut kepada pihak berkuasa.

Bukan itu sahaja, sebuah lagi kenyataan yang dipercayai ditulis oleh anak bongsu Lee Jung dimuat naik di laman portal Nate pada 21 Jun lalu.




Menurut anak Lee Jung, dia telah dirogol sejak dia berusia 5 tahun oleh ahli keluarganya dan menyeru orang ramai untuk membantu mereka keluar dari neraka tersebut.

Sementara itu, para netizen telah memberi sokongan dengan membantu menyebarkan kisah sedih keluarga ini di media sosial dengan hashtag #HelpLeeJungHee dalam pelbagai bahasa.







Hashtag #HelpLeeJungHee kini mula trending di laman Twitter, di mana pengamal media sosial menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera untuk menyelamat mangsa tersebut.





Orang ramai juga diminta menandatangi petisyen di laman www.change.org untuk membawa keadilan terhadap kes penderaan tersebut.