Amerika Syarikat (AS) mendesak agar satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diadakan bagi menangani tunjuk perasaan yang semakin memuncak di Iran.

Duta negara itu ke PBB, Nikki Haley mendesak pertubuhan antarabangsa itu untuk bersuara bagi menegakkan kebebasan manusia sejagat.

"Demonstrasi berlaku secara spontan di hampir semua bandar di Iran. Ini adalah gambaran sebenar rakyat yang tertindas selama ini, kini mereka bangkit menentang pemimpin kuku besi."

"Masyarakat antarabangsa perlu memainkan peranan dalam hal ini. PBB mesti bersuara. Dalam beberapa hari ini kita akan memanggil mesyuarat tergempar di New York dan di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva. Kita tidak boleh berdiam diri," katanya.

Terdahulu, Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei menerusi kenyataan di televisyen negara, menyalahkan 'musuh-musuh' Iran atas pergolakan yang melanda negara itu.

Seramai 21 orang telah terkorban, manakala ratusan yang lain ditahan dalam pergolakan yang berlarutan sehingga lima hari di seluruh negara.

Tunjuk perasaan sebagai memberi tekanan kepada para pemimpin yang berkuasa semenjak Revolusi Islam 1979, serta Presiden Hassan Rouhani yang membuat kenyataan bahawa Iran berhak mengkritik tetapi tidak boleh menyebabkan kerusuhan.