Detik manis pasangan pengantin di Lubnan hampir menjadi kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan.

Bagi pengantin baharu Israa Seblani, 29, dan suami Ahmad Sbeih, 34, hasrat merakamkan memori indah bergelar suami isteri bertukar tragis apabila majlis resepsi mereka digegarkan insiden letupan Selasa lalu.

Menerusi rakaman video berdurasi 28 saat yang tular, jelas kelihatan kegembiraan Seblani merakam detik indah pada hari bahagianya itu dengan bantuan jurugambar Mahmoud Nakib.

Kegembiraan itu bagaimanapun berubah sekelip mata apabila lokasi resepsi pasangan pengantin tersebut digegarkan dengan letupan kuat.

"Lokasi majlis resipi saya dipenuhi timbunan kaca pecah dan bunga-bunga hiasan.

Israa yang bertugas sebagai doktor di Amerika Syarikat (AS) tidak dapat mengungkapkan rasa sedih atas apa yang berlaku namun bersyukur dia dan suami terselamat.

"Apa yang berlaku semasa letupan itu tidak mampu diungkapkan.

"Saya benar-benar terkejut dan tertanya-tanya apa yang berlaku; adakah saya akan mati dan bagaimana saya akan mati," kata Israa.

"Selepas menyedari kejadian itu, saya melihat kemusnahan hampir keseluruhan Pelabuhan Beirut, dan satu perkara yang dapat saya lafazkan ketika itu ialah perkataan syukur kepada Tuhan kerana terselamat daripada bencana itu," katanya kepada Reuters.

Israa yang tiba di Beirut tiga minggu lalu bagi persiapan majlis perkahwinannya di sebuah hotel berhampiran bandar pelabuhan itu menzahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku, khususnya kepada mangsa yang terjejas.

Bandar pelabuhan di ibu kota Lubnan, Beirut digegarkan dengan letupan kuat berpunca daripada stok simpanan 2,750 tan ammonium nitrat.

Sekurang-kurangnya 170 mangsa terkorban dengan ribuan lagi cedera. Dilaporkan kira-kira 300,000 penduduk hilang tempat tinggal.