Satu rang undang-undang yang melarang amalan talak tiga dalam kalangan lelaki Islam di India diluluskan Dewan Rendah India (Lok Sabha) pada Khamis yang turut membawa hukuman tiga tahun penjara jika sabit kesalahan.

Rang undang-undang itu menerima sokongan majoriti walaupun terdapat bangkangan daripada beberapa parti komponen kerajaan.

Rang Undang-Undang Wanita Islam (Perlindungan Hak Perkahwinan) 2019 yang antara lain melarang penceraian dengan menyebut tiga kali talak dalam satu masa oleh pihak suami, telah diluluskan dengan mendapat 303 undi sokongan dengan 82 menolak.

Menteri Undang-undang Ravi Shankar Prasad yang menggerakkan rang undang-undang berkenaan berkata, ianya tiada kaitan dengan politik atau agama tetapi lebih kepada masalah maruah wanita.

Sedia maklum mengenai penganiayaan yang berlaku seperti sati dan dowry (mas kahwin), Prasad berkata undang-undang itu akan bertindak sebagai penghalang.

Menteri itu berkata Rang Undang-Undang yang menyokong hukuman tiga tahun penjara bagi suami yang menjatuhkan talak tiga adalah perlu bagi memberikan keadilan dan kesaksamaan jantina.

Sebanyak 574 kes talak tiga sejak Januari 2017, dan sejak Mahkamah Agung mengharamkan amalan itu tahun lalu lebih daripada 300 kes tersebut dilaporkan oleh media.

Ogos tahun lalu, Mahkamah Agung memutuskan undang-undang yang membenarkan lelaki Islam menceraikan isteri mereka dengan cuma melafazkan perkataan ‘talak’ atau ‘cerai’ dalam bahasa Arab sebanyak tiga kali, tidak mengikut Perlembagaan.