Sebuah dewan yang khusus untuk komuniti Islam setempat menunaikan sembahyang musnah teruk dalam satu kebakaran di Ajaccio, pulau Corsica, ujar pihak berkuasa Perancis.

Insiden itu berlaku selang empat bulan kejadian sebuah lagi dewan sembahyang di situ diceroboh dan diselongkar.

Tiada sesiapa yang cedera dalam kebakaran di Ajaccio, dan pihak polis masih menjalankan siasatan dalam kes yang diklasifikasikan sebagai jenayah itu berikutan penemuan dua punca kebakaran di dalam dewan tersebut.

“Insiden ini sama sekali tidak boleh diterima. Tempat tersebut tidak dilindungi dengan sewajarnya,” ujar Datuk Bandar Ajacio, Laurent Marcangeli kepada sebuah stesen televisyen tempatan.

Pada hujung Disember lalu, pulau tersebut dalam keadaan genting apabila masalah ketegangan kaum tercetus selepas sekumpulan anggota bomba di Ajaccio diserang di sebuah kawasan perumahan yang menempatkan golongan pendatang.

Dalam kekecohan itu, sebuah dewan sembahyang untuk komuniti Islam telah turut diserang dalam satu protes antipendatang.