BUSHRA al Abdullah dan keluarganya telah memilih untuk kembali semula ke kampung halaman di bahagian barat pinggir Damsyik, Syria secara sukarela.

Namun apa yang disangka indah bertukar mimpi ngeri apabila rancangannya untuk membina hidup baharu di tanah air sendiri selepas bertahun menjadi pelarian di Lubnan tidak kesampaian.

Segalanya bermula di penghujung Julai lalu, ketika melepasi sempadan Lubnan dan memasuki Syria, suaminya telah ditahan pengawal sempadan. Dia bersama dua anaknya menyaksikan sendiri kejadian dan sejak dari saat itu tiada sebarang khabar berita.

Bushra yang kini menumpang bersama saudara di Damsyik mengakui tertarik untuk kembali semula ke Syria melalui program sukarela seperti yang diuar-uarkan tentera rejim Bashar al Assad.

“Mereka yang ingin pulang diletakkan di bawah senarai nama, sebahagian dilulus dan sebahagian ditolak.

“Keluarga saya antara mereka yang dibenarkan. Suami saya telah ditahan meskipun sebelum ini telah berlaku perbincangan antara pihak berkuasa tempatan Lubnan dengan wakil rejim dan pihak rejim telahpun memeriksa senarai nama,” kataya kepada The New Arab.

Jaminan keselamatan diragui

Menurut Ketua Syrian Centre for Legal Studies and Research (SCLSR), Anwar al Bunni, apa yang menimpa suami Bushara adalah perkara biasa bagi penduduk yang dahulunya kawasan mereka dikuasai kumpulan anti kerajaan.

Sebelum ini, pegawai kanan tentera kerajaan, Mejar Jeneral Hassan Ahmed Hassan memberi jaminan kepada mereka yang ingin pulang ke Syria.

Dalam laman sesawangnya, rejim cuba memancing pelarian dengan menawarkan tiket termasuk bagi mereka yang kehilangan pasport dan dokumen perjalanan. Tiket berkenaan hanya sah untuk kembali ke Syria sahaja.

Dalam reaksinya berhubung tawaran yang dibuat, Anwar berkata setakat ini tiada sebarang jaminan undang-undang rasmi dikeluarkan bagi melindungi mereka yang pulang.

Meskipun menggalakkan rakyatnya yang melarikan diri akibat konflik supaya kembali semula ke tanah air, Damsyik mengenakan syarat ketat di mana mereka yang ingin berbuat demikian perlu memiliki dokumen termasuk kad pengenalan, pasport dan dokumen berkaitan. Ketiadaan butiran berkenaan menjadi satu halangan kepada pelarian.

Setakat ini, tiada angka rasmi jumlah sebenar pelarian Syria yang hilang atau dibunuh ketika cuba kembali semula ke negara asal.

Pembunuhan didalangi kumpulan bersenjata

Pada 30 Oktober lalu, portal milik penentang kerajaan, Zaman al Wasel melaporkan pembunuhan yang dilakukan ke atas pelarian Syria yang pulang ke negara asal dan ia dikatakan didalangi kumpulan bersenjata pro Bashar.

Tanpa memberikan sebarang perincian, ia mendakwa perbuatan itu telah didorong oleh perbezaan mazhab.

Pembunuhan yang berlaku menjadi perhatian media selepas Menteri Negara Mengenai Hal Ehwal Pelarian Lubnan, Mouin Merehbi membuat kenyataan berhubung perkara itu pada 4 November lalu.

Beliau mendakwa, sekurang-kurangnya 20 pelarian Syria dilapor dibunuh tentera regim Bashar al Assad dan konco-konconya selepas pulang ke negara asal.

Mouin yang selama ini mengkritik kerajaan Syria dan tidak sebulu dengan sekutunya, Hezbollah, tidak menolak kemungkinan angka pembunuhan lebih tinggi dari apa yang didakwa.

“Sebagai seorang menteri Lubnan, kami tidak mempunyai keupayaan logistik untuk mengakui kesahihan dan mengesah kebanyakan laporan,” katanya seperti yang dilapor The National.

Jelas Mouin lagi, pada masa sekarang, pihaknya tidak mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa Syria atau sebarang sumber dalam negara itu.

Katanya, kes terbaru dikatakan berlaku pada Ahad lepas di mana tiga sekeluarga termasuk dua remaja lelaki telah dibunuh di pinggir Homs.

“Mangsa telah pulang dari Lubnan dalam lapan bulan lepas dan dia (Mouin) berkata kelihatan seperti pegawai tinggi tentera Syria terbabit di sebalik pembunuhan ini,” lapor akhbar itu.

Menurut Mouin, kementeriannya tidak mempunyai bukti untuk mengaitkan sasaran pembunuhan atau dilakukan secara sistematik kepada mana-mana pelarian yang pulang tetapi mengakui keadaan tidak tenteram meskipun di kawasan yang dianggap selamat dan dikuasai kerajaan.

“Sekiranya rejim Syria benar-benar mahukan rakyat Syria pulang, mereka perlu hentikan pembunuhan bila mereka kembali ke kampung halaman,” katanya.

Sebelum ini, proses pulang pelarian Syria di Lubnan tidak diselia oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), meskipun Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) membantu kes-kes mereka yang ingin berbuat demikian secara sukarela dengan menyediakan dokumen.

Terdahulu, Keselamatan Awam Lubnan berkata, lebih 80,000 pelarian telahpun pulang dari negara itu sejak Julai 2018. Angka berkenaan termasuk 7,670 yang berbuat demikian melalui bantuannya manakala selebihnya pulang dengan cara sendiri.

Peningkatan mereka yang pulang turut memberi kesan kepada rekod bagi semakan jumlah sebenar pelarian Syria di Lubnan.

Pada 30 September, 952,562 orang pelarian direkodkan berada di negara itu, penurunan seramai 23,440 orang berbanding dengan bancian yang dibuat pada 31 Julai.

Berdasarkan perbezaan jumlah itu, Mouin menyelar angka yang dikeluarkan Keselamatan Awam Lubnan yang disifatkannya telah ditokok tambah bagi mendorong pelarian untuk pulang.

Paling ramaipun, katanya 55,000 orang bukan 80,000 orang seperti yang didakwa.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan UNHCR, sehingga 24 September lalu, sekurang-kurangnya 5.6 juta pelarian Syria berselerak di negara jiran.

Dari jumlah itu, Turki mencatat angka tertinggi di mana lebih 3.5 juta berlindung dan baki 2 juta orang lagi di Mesir, Iraq, Jordan serta Lubnan, selebihnya di negara Afrika Utara. - Agensi/Teks oleh Razali Awang