'Makan banyak' adalah tanggapan masyarakat yang tidak pernah lari terhadap individu yang mempunyai bentuk fizikal yang besar.

Namun berbeza dengan situasi seorang remaja berusia 19 tahun yang sengaja membeli kesemua stok kek cawan di sebuah kedai roti akibat diejek, lapor MetroUK.

Vega Blossom yang berasal dari Indiana, Amerika Syarikat (AS), pada asalnya cuma ingin membeli enam biji kek cawan tetapi berubah fikiran selepas mendengar ejekan seorang wanita yang sedang beratur di belakangnya ketika membuat pesanan.

Menurut Vega yang sedang beratur di kedai roti kegemarannya di Valparaiso, Indiana, dia terdengar pelanggan tersebut mengharapkan wanita berbadan besar itu tidak membeli kesemua kek cawan di situ.

"Apabila saya dengar kutukan itu, sejujurnya saya rasa sangat sedih dan ia sangat menyakiti perasaan dan hati saya, bagaimana dia menjadi sangat kejam terhadap orang yang dia tidak kenali?

"Membesar dalam keadaan berisi, saya selalu mendapat komen yang negatif tentang berat badan saya yang berlebihan seumpama ini adalah masalah mereka.

"Perkara seperti ini tidaklah membahayakan saya tetapi apa yang saya pelik adalah saya tidak kenal wanita yang mengejek itu yang bercakap sangat kuat dan jelas," tambahnya.

Dalam pada itu, Vega juga berharap bahawa tindakannya membeli kesemua stok kek cawan itu akan menjadi iktibar kepada wanita tersebut supaya menjaga adabnya dengan semua orang.

Vega berkongsi 20 biji kek cawan bersaiz besar itu bersama rakan sekerja dan keluarganya dan dia juga tidak rasa bersalah kerana memborong kesemuanya.