Binaan marmar putih pada monumen bersejarah Taj Mahal di India kini bertukar menjadi kuning dan lebih teruk, memburuk ke warna kehijauan.

Perubahan itu terjadi kerana bangunan ikonik kurun ke-17 berkenaan terus-menerus diselubungi udara kotor di bandar kelapan paling tercemar di dunia.

Ironinya, binaan yang dilabel sebagai antara tujuh keajaiban dunia itu terlalu hampir dengan sungai yang dipenuhi sampah-sarap. Ia juga sering diselimuti debu dan jerebu dari aktiviti pembakaran terbuka serta pelepasan asap kenderaan di sekitar Agra.

Di satu sudut lain, serangga halus berterbangan dari Sungai Yamuna yang semakin busuk dan mengering.

Airnya yang dipenuhi kotoran najis mengalir lesu ke dalam perimeter Taj Mahal, hingga meninggalkan kesan pada marmar yang dahulunya putih, lapor peguam alam sekitar kepada Mahkamah Agung India.

Pihak mahkamah menyalahkan pihak kerajaan yang tidak tegas dalam memelihara persekitaran monumen tersebut yang dibina oleh pemimpin kerajaan Mughal, Shah Jahan, sebagai 'hadiah cinta' untuk isterinya, Mumtaz Mahal.

Lokasi ikonik Taj Mahal semakin diancam masalah pencemaran. - Reuters

“Seandainya saintis dan pakar alam sekitar India tidak dapat melakukan apa-apa, mereka sepatutnya menghubungi pakar-pakar dari luar negara yang mampu datang ke India dan sedia untuk membantu,” kata peguam M.C Mehta, yang telah tiga dekad berjuang melindungi Taj Mahal daripada dirosakkan pencemaran alam sekitar.

Kumpulan pemulihara telah menggunakan campuran mineral tanah liat untuk membersihkan permukaan marmar Taj Mahal. Ia berfungsi sebagai penyental yang menyerap segala kekotoran sebelum kemudiannya boleh dibilas bersih dengan air.

Beberapa aktivis juga bimbang dengan paras air yang semakin berkurangan di Agra, selain resah dengan kesesakan lalu lintas yang mencemarkan udara, kesan daripada pembangunan tidak terkawal di sekitar Taj Mahal.

Di belakang monumen, longgokan plastik dan sampah sarap memenuhi sungai hingga meninggalkan bau yang busuk hingga boleh dihidu pada jarak yang jauh.

Di bahagian luar perimeternya pula, sekumpulan manusia dilihat berkumpul untuk upacara pembakaran mayat.

Apakah nasib Taj Mahal pada masa akan datang? - Reuters

Sebenarnya, impak yang kini terlihat pada Taj Mahal bukan terjadi semalaman.

Hakikatnya, ahli-ahli alam sekitar dan sejarah pernah memberi amaran bahawa asap dan jelaga daripada kilang-kilang akan merosakkan keindahan monumen bersejarah itu.

Bagi pelancong pula, mereka mengharapkan pihak kerajaan boleh mengambil langkah-langkah tertentu untuk membaik pulih lokasi tersebut.

“Saya berpendapat, Taj Mahal merupakan antara ikon terbesar di India dan sepatutnya bandar ini juga lebih bersih. Pihak kerajaan perlu lakukan sesuatu mengenai perkara ini,” kata seorang pelancong dari Argentina, Francesco.