Seorang doktor palsu menyebabkan 21 orang dijangkiti HIV di sebuah kampung di bandar Lucknow, India setelah ‘merawat’ beberapa pesakit yang mengalami selsema, batuk dan cirit-birit.

Masalah ini berpunca apabila doktor palsu itu merawat menggunakan jarum suntikan yang tercemar.

Pegawai perubatan, Sushil Choudhury berkata polis sedang memburu suspek, Rajendra Yadav, yang dipercayai melarikan diri.

Menurut penduduk kampung, mereka tidak pernah melihat doktor itu menukar jarum semasa melakukan rawatan dan ini dipercayai mungkin menyebabkan jangkitan virus HIV.

Ramai warga India beralih mendapatkan perkhidmatan doktor palsu susulan masalah kekurangan doktor.

Doktor palsu juga mengenakan bayaran yang murah.

Masalah kekurangan doktor dan hospital besar di India juga menyebabkan kos perubatan menjadi mahal.

Statistik UNAIDS menyatakan India mempunyai 2.1 juta penghidap HIV pada akhir tahun 2016.