GIGIH menjalankan tugas akibat kekurangan topeng muka dan pakaian keselamatan bersesuaian, barisan doktor dan jururawat hospital di Wuhan menghadapi kemungkinan jatuh sakit dan mati demi menjalankan tugas.

Mereka yang bertugas di barisan hadapan menghadapi bebanan peningkatan jumlah kes setiap hari walhal diri mereka sendiri terdedah kepada jangkitan dari pesakit yang mereka rawat.

Ramai yang terpaksa bertugas dengan rehat yang tidak mencukupi dan lebih teruk lagi, menggunakan peralatan dan pakaian yang sepatutnya ditukar ganti secara berkala.

Ada yang bertindak memakai lampin dan mengurangkan minum air atas alasan mahu terus menggunakan peralatan topeng muka dan pakaian keselamatan tanpa henti.

Lazimnya, setiap kali ke tandas, peralatan keselamatan yang dipakai perlu dibuang dan diganti baharu.

Kekurangan peralatan ini menyebabkan tiada pakaian baharu yang mampu diguna sebagai ganti setelah dibuang.

Agensi berita AFP melaporkan telah menerima maklumat dari seorang doktor yang bertugas di sebuah klinik di Wuhan tentang keadaan di hospital yang dihadapi setiap hari.

Menurut doktor yang tidak mahu namanya didedahkan, seramai 16 rakannya ada menunjuk gejala jangkitan COVID-19 iaitu batuk dan jangkitan paru paru.

“Sebagai doktor, kami tidak mahu menjadi sumber jangkitan. Tetapi apakan daya, semua anggota sudah dikerahkan dan tiada siapa yang mampu jadi pengganti. Apa akan terjadi jika tiada barisan doktor dan jururawat untuk bertugas di barisan hadapan?” sambil menambah bahawa para doktor yang tidak menunjuk sebarang tanda demam atau tidak sihat dikira mampu untuk bertugas.

Beban tugasan di Wuhan amat berat memandangkan lebih 40 peratus kes penularan wabak COVID-19 berlaku di ibukota wilayah Hubei ini.

Bahaya kepada petugas jelas berikutan kematian Dr Li Wenliang yang merupakan doktor pertama cuba memberi amaran tentang kemunculan penyakit yang mempunyai kesamaan dengan SARS pada awal penularan.

Kematiannya disambut dengan gesaan melalui surat terbuka dari 10 orang ahli akademik medesak perubahan politik dan kebebasan bersuara.

Mengikut timbalan datuk bandar Wuhan, kota itu kekurangan 56,000 topeng N95 dan 41,000 pakaian keselamatan (hazmat).

Sementara itu, seorang jurucakap dari Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China Jiao Yahui dipetik laporan yang sama mengarah petugas kesihatan memakai lampin, kurangkan minum dan pada masa yang sama, kurangkan kekerapan pergi ke tandas.

Ini bermakna petugas akan menyarungkan pakaian yang sama selama enam hingga sembilan jam bertugas walhal mereka sepatutnya menggantinya setelah dipakai untuk jangkamasa empat jam jika bertugas di ruang kuarantin.

Jiao mengaku perkara ini tidak sepatutnya berlaku tetapi, apakan daya, situasi kekurangan peralatan tidak dapat dielakkan.

Kerajaan China bertindak mengerahkan satu negara menambah pengeluaran topeng muka dan pakaian keselamatan (hazmat suits).

Bermula Isnin, tiga suku dari jumlah pengeluar topeng muka dan pakaian keselamatan sudah beroperasi setelah cuti Tahun Baharu China berakhir.

China juga sudah mengimport lebih dari 300 juta topeng muka dan hampir 4 juta pakaian keselamatan sejak hujung Januari.

Persatuan Palang Merah China juga dilapor sudah menerima lebih 900 yuan atau hampir AS$130 juta sumbangan derma dari pelbagai sumber.

Jumlah kes yang meningkat menyukarkan kerja para petugas kesihatan.

Setiap doktor atau jururawat perlukan dua hingga empat topeng setiap hari. Seorang doktor dilaporkan terpaksa menggunakan pakaian keselamatan (hazmat suit) yang sama sepanjang lima hari bertugas kerana kehabisan bekalan peralatan.

Doktor terbabit bertindak membersihkah pakaian keselamatan itu menggunakan pencuci berubat (disinfectant) setiap penghujung hari.

Pihak hospital juga sudah bertindak memberi kemudahan kaunseling kerana timbul kemurungan dalam kalangan petugas.