ANAK Presiden Donald Trump, Donald Trump Junior dan isterinya mengesahkan kini membawa haluan masing-masing.

Dalam satu kenyataan, pasangan itu memaklumkan sudah bersetuju untuk berpisah selepas bersama selama 13 tahun.

Kenyataan menyusul selepas Vanessa Trump memfailkan permohonan cerai di sebuah mahkamah di Manhattan.

Vanessa memfailkan prosiding tanpa bertanding dan ini bermaksud pasangan itu sudah membincangkan butiran pemisahan seperti hak penjagaan anak-anak dan hartanah.

Sumber memberitahu TMZ, bahawa penceraian itu sudah dijangka dan hubungan mereka kebelakangan ini juga dingin.

Tambah sumber tersebut, antara isu yang menjadi punca penceraian ialah Vanessa tidak suka politik dan Donald Jr. sentiasa tiada di rumah.

Pasangan itu berkahwin pada 2005 dan mempunyai lima orang anak antara usia 3 dan 10 tahun.

Menurut NY Post pula, Vanessa kecewa dengan beberapa entri Twitter Donald Jr. yang mempertahankan Donald Trump dan dasar yang diperkenalkan bapanya.

Bulan lalu, Vanessa terkejut apabila menerima sebuah sampul surat berisi serbuk putih dan surat penuh kebencian yang ditujukan kepada Donald Jr.

Serbuk yang diperiksa itu sebenarnya tepung jagung dan pengirim surat juga telah ditahan.

Sumber menyatakan bahawa insiden itu benar-benar menakutkan Vanessa.