Satu objek dipercayai dron dikesan terbang mengiringi satu daripada empat kapal China yang memasuki perairan Jepun berhampiran Kepulauan Senkaku di wilayah selatan Okinawa, menurut seorang Pengawal Pantai Jepun lapor agensi berita Jepun Jiji Press.

Menurut Pengawal Pantai di Naha, Okinawa itu, objek berkenaan dikesan terbang di atas kapal Haijing 2308 selama hampir empat minit sekitar pukul 10.50 pagi.

Namun, pihak pengawal pantai sedang mengenal pasti objek sebenar dan motif di sebalik tindakan itu.

Kapal Haijing 2166, 2305, 2308 dan 33115 memasuki perairan Jepun sekitar pukul 10.10 dan 10.25 pagi, pada titik utara-barat laut Uotsurijima iaitu antara pulau terbesar di Laut Cina Selatan yang ditadbir Jepun.

Empat buah kapal berkenaan kemudian meninggalkan perairan Jepun kira-kira pukul 11.45 pagi dan pada tengahari.

Tindakan itu pertama kali dilakukan kapal China sejak 8 Mei dan dalam tempoh 13 tahun.

Pulau yang dikenali Diaoyu itu menjadi pertikaian antara kedua-dua buah negara dan China mendakwa ia adalah hak miliknya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Biro Hal Ehwal Asia dan Oceania Kementerian Luar Jepun berkata, negaranya tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan seumpama itu kerana dikhuatiri ia boleh memburukkan lagi keadaan.

-- BERNAMA