Ketua Polis Thailand, Somyot Pumpunmuang percaya letupan bom di jambatan Jeti Sathorn dan letupan di Kuil Hindu Erawan pada Isnin dilakukan oleh pelaku yang sama.

Selepas membuat pemeriksaan di terminal bot Sungai Chao Phraya pada Selasa, Somyot berkata penyelam menjumpai enam serpihan logam bom paip yang dicampak dari jalan yang jatuh ke dalam terusan berhampiran stesen BTS Saphan Taksin.

Bom paip itu dilaporkan melantun ke dalam terusan lalu meletup yang menyebabkan percikan air yang kuat. Bagaimanapun tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.

Pasukan teknikal pemusnah bom mendapati bahan letupan TNT digunakan dalam kedua-dua bom itu, yang telah disumbat ke dalam paip logam yang mempunyai fius penetap masa.

Impak letupan di Sathorn dianggarkan mampu menjangkau 35 ke 50 meter, kurang separuh daripada kesan letupan pada Isnin di Kuil Hindu, persimpangan Ratchprasong.

Somyot juga percaya terdapat lebih daripada seorang individu di sebalik kedua-dua pengeboman itu dan berkemungkinan mereka turut menyamar sebelum berlakunya pengeboman pada Selasa.

Pengeboman di Sathorn berlaku 1.20 petang (waktu tempatan), bagaimanapun separuh daripada jeti masih dibuka untuk operasi bot. Polis turut menutup Jalan Sathorn dari jeti ke stesen Skytrain Saphan Taksin untuk melakukan siasatan.

Penolong Ketua Polis Thailand, Prawut percaya si pelaku mahu mencampakkan bom ke platform pejalan kaki menuju ke jeti namun gagal. Visual kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan situasi kejadian itu menunjukkan orang ramai berlari ke tambak dari terusan bagi mengelak daripada terkena letupan.

Pada awal, polis hanya menghantar pasukan penyelam untuk mencari jika terdapat bom yang masih belum meletup.

Kemudian, guni pasir dan pam turut dibawa ke lokasi pencarian bagi melencongkan kesan letupan selain memudahkan pihak polis mendapatkan bukti.

Jeti Sathorn merupakan jeti terminal utama bagi perhubungan seperti bot komuter Sungai Chao Phraya dan stesen Skytrain. Ia juga merupakan destinasi tumpuan pelancong terutama dari China.

Timbalan Ketua Polis, Prajin berkata bom yang digunakan dalam letupan di Sathorn adalah jenis peranti letupan ubahsuai (IED). IED juga dipercayai digunakan dalam pengeboman pada Isnin di Kuil Erawan yang meragut 20 nyawa serta lebih 125 orang cedera.