Pertempuran ganas terus berlaku di antara orang awam dan pihak polis di jalan-jalan utama di Masaya, Nicaragua, pada Sabtu, menyaksikan dua maut.

Ini menjadikan angka kematian terus meningkat kepada 110 mangsa sejak berlakunya pertempuran pada pertengahan April lalu.

Tunjuk perasaan berlaku di antara pengikut setia Presiden Daniel Ortega dan kumpulan pembangkang yang menggesa agar Ortega, yang mula memegang tampuk pemerintahan negara sejak 2007, berundur daripada jawatan itu.

Salah seorang penunjuk perasaan menyifatkan mereka sudah muak dengan cara urus tadbir Ortega dan akan terus melakukan protes sehingga presiden itu berundur.

Selain itu, kebangkitan kumpulan-kumpulan penjenayah yang melakukan keganasan juga memaksa penduduk di beberapa kawasan menubuhkan pasukan untuk mengawasi kejiranan mereka.

Sementara itu di Managua, seorang warga Amerika Syarikat ditembak mati di jalanan selepas membantu rakannya yang diserang pada Jumaat minggu sama.

Walaupun pilihan raya presiden dijadual berlangsung pada 2021, namun ramai penentang di sana menggesa agar ia dilakukan lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya.