Pihak berkuasa Thailand mengesahkan dua militan yang maut dalam insiden berbalas tembakan di Pattani, Selatan Thailand semalam adalah dalang dalam serangan yang menyebabkan 15 maut di Yala pada awal bulan ini.

Panglima Bahagian Tentera Darat Ke-4, Pornsak Poonsawat berkata kedua-dua lelaki iaitu Sobri Lamso, 28, dari Songkhla dan Mayako Lateh, 40, dari Pattani adalah individu yang memimpin dan merancang dalam serangan pos kawalan keselamatan di Kampung Lam Phaya pada 5 Nov lepas.

Beliau berkata, pihak berkuasa telah mengepung sebuah rumah di mana kedua-dua suspek bersembunyi dan meminta mereka agar menyerah diri tetapi mereka enggan malah melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan dan menyebabkan berlakunya insiden berbalas tembakan hampir tiga jam.

"Siasatan mendapati Mayako mempunyai 12 waran tangkap manakala Sobri mempunyai enam.

"Kedua-dua suspek juga pernah menyerang pos kawalan keselamatan kampung di Pakaharang, Pattani serta mengebom mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Universiti Fatoni, Yarang. Mereka juga pernah terlibat dalam kes samun kedai emas di Nathavi, Songkhla," katanya.

Pornsak berkata, pihak berkuasa turut menahan pemilik rumah yang memberi perlindungan kepada kedua-dua suspek.

Beliau juga memberi amaran kepada penduduk tempatan agar tidak memberi perlindungan kepada kumpulan militan.

Sementara itu, Ketua Polis Bahagian Ke-9 Lt Jen Ronnasin Phusara berkata, senjata api yang ditemui dalam rumah didapati digunakan dalam serangan pos kawalan keselamatan di Kampung Lam Phaya dan beberapa serangan sepanjang 10 tahun lepas.

"Senjata milik kedua-dua suspek telah meragut banyak nyawa," katanya.

-- BERNAMA