Dua lelaki warga emas parah ditembak seorang suspek yang disyaki cuba membakar sebuah masjid di barat daya Perancis.

Ketika kejadian pada Isnin, seorang suspek dipercayai cuba mencetuskan kebakaran di masjid berkenaan yang terletak di Bayonne.

Namun tindakannya itu dilihat dua mangsa, dipercayai jemaah masjid, yang dilapor cuba menghalang suspek.

Suspek kemudian melepaskan tembakan yang mencederakan kedua-dua mangsa berusia 74 dan 78 tahun itu.

Susulan kejadian, pihak berkuasa Perancis menahan suspek yang dikenali sebagai Claude Sinke, 84, di kediamannya.

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengutuk serangan tersebut dan berjanji memberikan perlindungan sewajarnya kepada masyarakat Islam di situ.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji yang dilakukan di hadapan Masjid Bayonne.

"Kita akan lakukan segalanya bagi memastikan pelaku dihukum dan masyarakat Islam dilindungi," kata Macron di akaun Twitternya.


Setakat ini, kawasan sekitar masjid ditutup untuk siasatan manakala skuad pemusnah bom telah dikerah ke kediaman Sinke di Saint-Martin-de-Seignanx, 16km dari lokasi.

Motif serangan masih disiasat.