Dua petani terbunuh dan berpuluh-puluh cedera dalam pertempuran antara petani dan polis pada Rabu iaitu hari kedua demonstrasi jalanan oleh masyarakat petani di Peru.

Dua kematian itu berlaku di daerah Huancavelica dan Pasco.

Petani telah melancarkan demonstrasi itu bagi meminta sokongan daripada Presiden Pedro Pablo Kuczynski untuk membolehkan mereka menjual hasil tanaman mereka kepada kerajaan.

Sementara itu di Huancavelica, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang bertindak membaling batu dan objek ke arah polis yang mengawal demonstrasi.

Lebih daripada 500 petani cuba memasuki empangan utama di Huancavelica yang menyalurkan air sungai ke kompleks hidroelektrik terbesar di negara itu.

Protes juga berlaku di dua wilayah di bahagian tengah dan selatan Peru, dengan kumpulan petani bertindak menyekat laluan jalan raya.