ADAKAH dunia bakal menghadapi wabak selesema seteruk (severe acute respiratory syndrome atau SARS) yang melanda tahun 2002-2003 dahulu?

Bermula di Guandong, China SARS melibatkan lebih 8,000 jangkitan dan menyebabkan 774 kematian setelah merebak merata Asia termasuk Hong Kong, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Ikut kata China, baharu dua kematian dicatatkan dari 60 kes yang direkodkan setakat ini.

Namun, saintis MRC (Medical Research Council) Global Center for Infectious Diseases Analysis di Imperial College, London menzahirkan kebimbangan angka 60 ini tidak tepat.

Amaran itu disuarakan Prof Neil Ferguson bersama rakan saintis penasihat kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organisation atau WHO) dan kerajaan United Kingdom berpusat di London.

Singapura, Hong Kong, Thailand, Filipina dan juga Malaysia sudah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengawasi suhu penumpang yang tiba di lapangan terbang masing-masing dari Wuhan, China.

Virus terbaharu ini sudah dijejaki sebagai berpunca dari pasar harian kota Wuhan pada Disember di mana kedua-dua kematian tersebut berlaku.

Menurut Prof Ferguson, angka yang didedah China berdasarkan jangkitan di China sahaja tanpa mengambil kira jangkitan yang sudah dijejaki di Thailand dan Jepun.

Thailand sudah mencatatkan dua kes dan satu lagi muncul di Jepun.

Prof Ferguson membuat hipotesis melibatkan cara penularan berdasarkan `pengeksportan’ melalui jangkitan dari Wuhan ke Thailand dan Jepun.

Bagi Wuhan untuk mengeskport tiga jangkitan tersebut ke luar negara menimbulkan kemungkinan wujudnya lebih banyak kes dan bukan sahaja 60 yang dilaporkan China.

Kerumitan timbul untuk membina statistik penularan yang tepat kerana kebergantungan kepada jenis virus itu sendiri, jumlah penduduk tempatan yang terlibat dan juga rekod perjalanan keluar dari Wuhan itu sendiri.

Wuhan mempunyai 19 juta penduduk dan pintu keluar dari lapangan terbang mencatatkan 3,400 perjalanan ke destinasi antarabangsa setiap hari.

Berdasarkan statistik ini, pasukan Prof Ferguson menjangkakan kadar penularan sudah merebak hingga mencecah lebih 1,700 kes, dan bukan pada kadar 60 yang dicatatkan oleh China sendiri.

Walaupun enggan menimbulkan rasa panik, Prof Ferguson dan pasukan penasihatnya mahu langkah berjaga-jaga diperketat.

Menurutnya, pihak China mendakwa tidak wujud kes virus itu merebak melalui jangkitan manusia-kepada-manusia.

Jangkitan itu menurut China merebak merentang spesis (species barrier) dan berpunca dari haiwan ternakan dan makanan lautan yang dijual di pasar Wuhan sendiri.

Prof Ferguson berbeza pendapat dan mahu pihak kesihatan mengambil kira penularan melalui penyebaran manusia-kepada-manusia dengan lebih teliti lagi.

Sementara itu, pejabat WHO di China menyifatkan pandangan pasukan Prof Ferguson itu amat berguna dan hasil dapatannya akan diambil kira dalam langkah menangani wabak ini.

Menurut satu laporan dari badan penyiaran British (BBC), saintis lain turut menghargai pendedahan maklumat terbaharu ini dan mengakui bukti kukuh wujud tentang cara penularan melibatkan manusia.

Prof Jonathan Ball dari Universiti Nottingham mahu lebih banyak lagi siasatan dan kerja makmal dijalankan bagi menentukan tahap sebenar jumlah jangkitan.

Dr Jeremy Farrar dari badan penyelidikan kebajikan kesihatan Wellcome Trust menimbulkan kemungkinan penularan ini berpotensi untuk menjadi lebih besar jika tidak terkawal.