Parlimen Filipina hari ini mengisytihar Rodrigo Duterte sebagai Presiden baharu selepas menang besar dalam pilihan raya baru-baru ini, namun beliau telah mengabaikan upacara berprofil tinggi itu.

Gabungan sesi Dewan Perwakilan dan Senat di Manila itu secara rasmi mengesahkan pengiraan undi, yang menyaksikan Duterte memenangi proses tersebut dengan majoriti lebih daripada enam juta undi.

Bagaimanapun Duterte tidak hadir ke upacara tersebut, sebaliknya memilih untuk berada di bandarnya di Davao, yang sudah dua dekad ditadbirnya sebagai Datuk Bandar.

Ketidakhadiran Duterte ke upacara pengisytiharan itu telah melanggar tradisi dan mengecewakan sebahagian daripada penyokongnya, sekali gus meletakkan reputasinya sebagai individu yang tidak mengikut kelaziman politik.

“Saya tidak akan hadir upacara itu. Saya tidak pernah hadir mana-mana majlis pengisytiharan dalam hidup saya,” ujar Duterte kepada wartawan di Davao, 900 kilometer dari Manila.

Duterte, yang berjaya memikat hati pengundi kerana ikrarnya untuk membanteras jenayah dalam tempoh enam bulan, dijadual mengangkat sumpah pada 30 Jun.

Duterte sebelum ini berjanji untuk memberikan lebih kuasa kepada pasukan keselamatan, sekali gus mahu ‘mengakhiri nyawa’ ribuan penjenayah. Dalam kempen politiknya, Duterte memberikan kebenaran kepada polis menembak suspek jenayah dadah, selain mahu mengembalikan hukuman mati atas kesalahan itu.

Tokoh bermulut lancang itu juga berjanji akan terus tinggal di Davao sehingga penggal pentadbirannya bermula. Beliau juga sering mengadakan sidang media pada lewat malam di pelbagai hotel, hingga memaksa ahli politik, kumpulan berkepentingan, pemimpin perniagaan dan pengikutnya bersusah-payah datang dari Manila.

Duterte juga sudah mula membentuk Kabinet dari Davao, dengan menamakan ramai ahli politik untuk mengisi jawatan-jawatan penting.

Selain itu, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan kumpulan Komunis dan gerila Islam sebagai langkah awal rundingan damai.

Duterte sebelum ini berkata, dia akan terus tinggal di Davao kerana merasakan lebih selesa. Dia juga berulang kali menzahirkan rasa kurang senang untuk menghabiskan masa di Manila, yang disifatkannya sebagai ‘kota mati dan dipenuhi setinggan’.