"Saya boleh jadi 50 kali lebih kejam... beri saya garam dan cuka, dan saya akan makan hatinya.”

Itu amaran Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang mengarahkan pihak tentera agar membunuh anggota militan Abu Sayyaf yang bertanggungjawab dalam serangan di Bohol dua minggu lalu dan tidak membawa balik kumpulan “binatang” itu hidup-hidup.

Presiden yang terkenal dengan mulut celuparnya berkata demikian setelah berang dengan tindakan kejam kumpulan militan itu yang memenggal kepala tahanan mereka.

"Saya mahu mereka mati. Pengganas kelar leher (tebusan). Mereka ini binatang.

"Jika awak mahu jadi binatang, saya pun boleh. Kita sama saja."

Lapan anggota militan Abu Sayyaf termasuk Joselito Melloria atau Abu Alih terbunuh dalam insiden tembak menembak pada Sabtu di bandar Clarin di Bohol pada 11 April lalu.

Turut terkorban tiga orang askar, seorang anggota polis, dan dua penduduk kampung.

Pasukan tentera pada Ahad meneruskan pemburuan saki baki anggota Abu Sayyaf yang melarikan diri.

Duterte turut menawarkan ganjaran bagi sebarang maklumat yang mendorong kepada penangkapan ahli kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan militan lain dalam serangan tersebut.