Dalam cita-cita untuk berganjak daripada masa silam yang dikaitkan dengan era kolonial, Presiden Filipina Rodrigo Duterte melontarkan cadangan untuk mengubah nama negaranya kepada ‘Maharlika’.

Perkembangan terbaru yang mendapat liputan hampir kesemua media di Filipina itu, antara lain turut melaporkan bahawa hasrat berkenaan pernah disuarakan oleh bekas pemimpin Ferdinand Marcos yang mahukan nama ‘Maharlika’ yang bermaksud ‘kemuliaan’ atau 'bangsawan'.

“Mari kita menukarnya, suatu hari nanti.

“Marcos berkata benar. Dia mahu menukar kepada nama itu kerana itu perkataan Melayu,” ujar Duterte pada Isnin selepas memberikan geran tanah kepada penduduk di wilayah Muslim Maguindanao.

Filipina merupakan jajahan Sepanyol selama 350 tahun dan dinamakan sempena Raja Philip II. Selepas kekalahan Sepanyol dalam perang Sepanyol-Amerika pada 1898, Filipina menjadi wilayah tadbir Amerika Syarikat sehingga meraih kemerdekaan pada 1946.

Dalam masayarakat Tagalog sebelum era penjajahan, Maharlika merupakan darjah kemuliaan pahlawan yang kedudukannya berada di antara orang biasa dan lapisan pemerintah Maginoo.

Kata-kata Duterte itu bagaimanapun hanyalah suatu cadangan. Menurut jurucakap Presiden, Salvador Panelo, hasrat tersebut tidak disertai sebarang langkah rasmi.

Untuk melaksanakan perkara itu juga, bermakna perlembagaan Filipina perlu ditulis semula dan memerlukan kelulusan umum menerusi referandum, tambah Panelo.

Lontaran idea Duterte itu juga mendapat kritikan daripada golongan sejarawan, yang mendakwa makna 'Maharlika' telah disalah erti, dan sebenarnya kata-kata itu hanya akan membawa Filipina kembali ke era pra-Hispanik.

Ketika pemerintahan Marcos, 'Maharlika' juga nama yang diberikan kepada unit gerila pimpinannya semasa Perang Dunia Kedua.