Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat mengadakan mesyuarat kecemasan membincangkan risiko penyebaran virus Ebola dari Republik Demokratik Congo.

Sekumpulan pakar akan memutuskan sama ada untuk mengisytiharkan 'amaran kecemasan kesihatan awam antarabangsa' yang akan mencetuskan tindak balas global yang lebih besar.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 44 orang disyaki dijangkiti Ebola dan 23 kematian sedang disiasat.

Menteri Kesihatan, Oly Ilunga Kalenga mengesahkan satu kes berlaku di Mbandaka, bandar yang dihuni sejuta penduduk, terletak kira-kira 130 kilometer dari lokasi kes pertama dikenal pasti.

Mbandaka merupakan hab pengangkutan utama yang menghubungkan kawasan sekitar dengan ibu negara, Kinshasa yang mempunyai hampir 10 juta penduduk.

Timbalan Ketua Pengarah Kesediaan dan Tindak Balas Kecemasan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Peter Salama berkata lokasi Mbandaka di Sungai Congo yang digunakan secara meluas bagi tujuan pengankutan, meningkatkan risiko Ebola mungkin merebak ke negara berhampiran.

"Pusat kawalan dan pengasingan kes Ebola telah ditubuhkan di Mbandaka bagi menangani wabak terbabit," ujar Salama.

Virus tersebut dikatakan merebak ke bandar terbabit melalui individu yang telah menghadiri pengebumian mangsa Ebola di Bikora di selatan Mbandaka sebelum memasuki bandar itu.

Lebih 4,000 dos vaksin percubaan yang dihantar WHO telah tiba di Khinsasa dan akan diberikan terlebih dahulu kepada penduduk di Mbandaka bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan bandar lain.

Sejak epidemik Ebola Afrika Selatan 2014-2016, tiga wabak Ebola dicatatkan,ia dikatakan tersebar secara jarak jauh oleh kelawar buah dan boleh menjangkiti manusia melalui daging haiwan liar Afrika yang tercemar.

Ia juga boleh merebak melalui sentuhan dengan darah, organ atau cecair badan haiwan yang dijangkiti.

Ebola menyebabkan pendarahan dalaman dan boleh mendatangkan maut. - BBC