Pengembara yang juga penggemar aktiviti mencabar kemampuan diri, Ross Edgley, menjadi manusia pertama yang berjaya berenang mengelilingi perairan Britain selepas menamatkan jarak sejauh 2,865 kilometer dan tiba di Matgate pada Ahad (4 Nov).

Reuters melaporkan, lelaki berusia 33 tahun dari Grantham, Lincolnshire itu telah meninggalkan bandar Kent pada 1 Jun, dengan membuat laluan renang mengelilingi pulau Britain mengikut arah jam.

Dalam percubaan hebat itu, tidak sekalipun dia kembali ke darat, dan hanya tidur di bot sokongan.


Edgley, yang berenang selama 12 jam sehari, telah menempuh arus kuat, bertahan dengan ratusan sengatan obor-obor dan terpaksa meneruskan cabaran dengan keadaan lidah yang melecet akibat terlalu lama terkena air masin.

Dalam renangan yang digelar 'The Great British Swim' itu, dia menggunakan kira-kira 500,000 kalori, dan telah makan lebih daripada 500 biji buah pisang untuk memberikannya sumber tenaga yang berterusan.

Tiada siapa dapat membayangkan kesulitan apakah yang telah dialami Edgley untuk menghabiskan cabarannya.

Pada pertengahan Ogos lalu, Edgley memecahkan rekod dunia bagi tempoh renang paling lama iaitu 73 hari yang sebelum ini dipegang Benoit Lecomte, yang telah berenang merentasi Laut Atlantik 1998.

Ini merupakan usaha memecahkan rekod terkini bagi Edgley. Pada April 2016, dia telah menghabiskan cabaran memanjat tali terpanjang, menyamai ketinggian Gunung Everest.

Rekod itu dibuat dua bulan selepas dia menghabiskan maraton sambil menarik sebuah kereta.