Tutup

Berita  | Dunia

Ekspedisi ke Gunung Kinabalu dilarang sehingga disahkan selamat - Menteri Singapura

Ekspedisi ke Gunung Kinabalu dilarang sehingga disahkan selamat - Menteri Singapura
HENG: Larangan itu hanyalah sehingga keselamatan di Gunung Kinabalu disahkan oleh pihak berkuasa Malaysia.
SINGAPURA: Tiada sekolah yang dibenarkan membawa pelajar menyertai ekspedisi ke Gunung Kinabalu sehinggalah keselamatan di wilayah itu disahkan oleh pihak berkuasa Malaysia, Menteri Pendidikan Heng Swee Keat memberitahu persidangan Parlimen pada Isnin.

Dalam jawapannya kepada soalan di Parlimen, Heng berkata Kementerian Pendidikan mengambil maklum bahawa kerajaan Malaysia telah menyatakan bahawa berikutan kejadian gempa bumi yang di luar jangkaan baru-baru ini, ia akan menilai dan memantau pergerakan seismik di Sabah serta meneliti langkah keselamatan bagi semua pendaki.
Ketika menggambarkan bencana gempa bumi yang tiba-tiba melanda Gunung Kinabalu di Sabah pada 5 Jun 2015, Heng berkata tujuh pelajar dan dua guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong (SJTK), serta seorang pengajar warga Singapura yang menyertai ekspedisi mendaki gunung itu, telah kehilangan nyawa mereka.

"Kami semua teramat sedih dengan tragedi ini. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang terkorban. Selain 10 rakyat Singapura, enam rakyat Malaysia termasuk dua jurulatih Mountain Torq yang bersama-sama pelajar dan kakitangan SJTK, juga kehilangan nyawa dan kami ucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mereka," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata: "Kami gembira kerana dapat membawa balik 22 pelajar dan enam guru dengan selamat.

"Kami berterima kasih kepada jurupandu Sabah dan jurulatih Mountain Torq yang membantu guru kita memindahkan pelajar dari gunung itu. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan pelbagai agensi Malaysia termasuk pihak berkuasa negeri Sabah, atas sokongan dan bantuan mereka dalam mencari, menyelamat dan usaha pemulihan," kata Heng.

Beliau berkata dalam kajian pihaknya berhubung kejadian itu, adalah jelas bahawa dalam merancang dan melaksanakan sebarang lawatan sambil belajar di luar negara, sekolah perlu terus mengadakan penilaian risiko dan mengambil segala langkah keselamatan serta langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.

Namun begitu, beliau berkata adalah mustahil untuk meramalkan bencana alam atau menidakkannya sama sekali.

Malah, katanya, ahli seismologi berpendapat kebarangkalian berlakunya gempa bumi yang membawa kemusnahan di kawasan sekitar Gunung Kinabalu tidak dapat dipastikan dan tidak ada sebarang amaran awal.

"Sebagai sebahagian daripada usaha ini, kementerian akan membentuk Panel Penasihat terdiri daripada pakar tempatan dan antarabangsa. Panel ini akan menyediakan input tambahan kepada kementerian dalam meningkatkan kualiti dan keselamatan program pengembaraan sambil belajar yang dijalankan di dalam dan luar negara," kata Heng.