Seorang bapa tergamak merantai anak lelakinya bersama anjing peliharaan untuk mengelakkan kanak-kanak terbabit daripada berkelakuan nakal.

Kanak-kanak berusia 11 tahun yang dirantai di bahagian leher bersama seekor anjing hitam di sisinya itu diselamatkan pihak polis ketika ditemui merayau di jalanan pada Sabtu lalu di Guangdong, China.

Media tempatan melaporkan, bapa kanak-kanak itu merantai anaknya untuk memastikannya tidak berbuat nakal ketika dia keluar bekerja.

Namun, pada hari itu kanak-kanak terbabit berjaya keluar dari rumah.

Lelaki itu berkata, dia menjaga anaknya seorang diri setelah bercerai, dan dia terpaksa merantainya kerana terlalu nakal.

Ekoran insiden itu, si ayah diberi amaran keras oleh pihak polis.

'Hukuman' itu menimbulkan kemarahan netizen yang beranggapan ia terlalu ringan berbanding perbuatan si ayah yang kejam.