Makhluk yang digelar sebagai ‘raja’ dalam dunia haiwan juga akur dengan kuasa ekstrem alam.

Begitulah nasib yang dialami empat anak singa di zoo Gaza pada Jumaat lalu apabila kesemuanya mati akibat kesejukan melampau gara-gara terjahan angin kencang sewaktu ribut musim dingin, lapor Reuters.

Angin kencang telah mengoyakkan lapisan plastik pelindung di kandang haiwan tersebut, sekali gus membuatkan ibu singa tidak dapat bertahan untuk memberi kehangatan yang mencukupi untuk anak-anaknya.

Khabar kesedihan itu dikongsi oleh penjaga zoo berkenaan, yang turut dilaporkan oleh pelbagai media tempatan dan serantau.

Seorang kanak-kanak Palestin sedih menyaksikan empat bangkai anak singa yang mati akibat cuaca ekstrem di Gaza. - Reuters

Dua ekor anak singa dijumpai mati pada Khamis, sehari selepas dilahirkan, ujar pemilik zoo, Fathy Joma. Dua ekor lagi pula mengalami kesukaran bernafas dan usaha untuk memulihkan kedua-duanya dengan penghangat kuasa elektrik tidak berjaya.

Binatang-binatang lain di zoo persendirian itu bagaimanapun dapat bertahan semasa ribut tersebut melanda, termasuk ibu singa dan pasangannya, serta seekor lagi anak singa yang berusia 14 bulan.