Banjir yang melanda Jakarta sejak Isnin lalu menyaksikan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh.

Kesemua mangsa ditemui dalam timbunan runtuhan di Kampung Warung Menteng dalam daerah Bogor.

Usaha mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak Selasa berjaya membawa keluar dua mayat wanita, masing-masing berumur 24 dan 34 tahun, satu mayat remaja berumur 17 tahun, serta seorang bayi.

Usaha menyelamat mangsa di bawah runtuhan masih diteruskan susulan laporan dua kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun yang dilaporkan hilang.

Dianggarkan lebih 11,000 penduduk di beberapa kawasan pedalaman terjejas akibat banjir tersebut.

Daripada jumlah itu, lebih 6,500 penduduk berjaya dipindahkan.

Menurut laporan pihak berkuasa, masih terdapat penduduk yang terkandas dan tinggal di tingkat dua bangunan susulan paras air banjir setinggi 2 meter.

Sementara itu, menurut Gabenor Jakarta Anies Baswedan, keutamaan kini diberikan kepada misi menyelamat dan menyalurkan bantuan yang diperlukan mangsa banjir.